Menyingkap Fenomena Isbal


Tentu masih ramai di antara kita yang mungkin tidak mengetahui bahkan mungkin juga sama sekali tidak pernah mendengar perkataan “Isbal”. Atas sebab tidak tahu dan tidak pernah mendengar itu jugalah, ramai dari kalangan kaum lelaki muslim yang tidak mengendahkannya. Atas sebab tidak mengetahui, maka mereka pun tidak mengendahkannya sedangkan ianya termasuk perbuatan yang memiliki hukum khusus di dalam agama.
Malah sudah menjadi trend (budaya), bahawa isbal adalah suatu bentuk wajah masa kini yang barang siapa tidak melakukannya, maka akan kelihatan seakan-akan ketinggalan zaman dan tidak moderate. Manakala bagi mereka yang meninggalkan isbal pula dikatakan sebagai aneh, pelik, dan tidak mengikuti gaya berpakaian masa kini.
Dari itu, tulisan kali ini akan sekali lagi mengupas isu berkenaan isbal dari sudut pandang al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih serta berpandukan kefahaman para ulama bermanhaj Salafus Soleh.
Maksud Isbal
المسبل إزاره هو الذي يطول ثوبه ويرسله إذا مشى
“Al-Musbil (Orang yang meng-isbalkan (melabuhkan) pakaian), dia adalah orang-orang yang menjulurkan (memanjangkan) dan melabuhkan pakaiannya apabila berjalan.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 1/126)
Demikian juga sebagaimana kata Ibnu al-Atsir, as-Shan’ani, dan al-Mundziri rahimahumullah:
المسبل هو الذي يطول ثوبه ويرسله إلى الأرض كأنه يفعل ذلك تجبرا واختيالا
“Al-Musbil, mereka adalah orang yang mejulurkan (atau memanjangkan, melabuhkan) pakaiannya dan yang pakaiannya hingga menyentuh (menyeret) bumi seakan-akan ia melakukannya kerana sombong dan angkuh.” (Al-Mundziri, Targhib wa at-Tarhib, 3/65 – Daar al-Kitab al-‘Ilmiyah)
Oleh itu, isbal menurut syar’i adalah melabuhkan (menjulurkan) pakaian serta membiarkannya terurai ke bawah sehingga melampaui batasan yang telah ditetapkan di dalam syari’at (melebihi mata kaki), dan perkara tersebut tidak terhad kepada isbal dengan niat sombong.
Apabila membahaskan berkenaan fenomena isbal ini, para ulama sebahagiannya mengklasifikan di antara hadis-hadis yang menyentuh isbal dengan disertai kesombongan dan juga perbuatan isbal yang tidak disertakan dengan niat sombong.
Dengan itu, untuk membolehkan para pembaca dapat melihat hadis-hadis tersebut dengan lebih baik berdasarkan perbahasan yang dimaksudkan, maka di sini diletakkan dua sub-tajuk yang membawakan hadis-hadis tersebut berdasarkan pembahagian di antara isbal dengan niat sombong dan juga isbal tanpa disertai niat sombong serta hasil perincian hukum yang dapat diambil terhadapnya.
Isbal Tanpa Niat Sombong
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَا أَسْفَلَ مِنْ الْكَعْبَيْنِ مِنْ الْإِزَارِ فَفِي النَّارِ
“Apa yang terjulur (labuh) ke bawah melebihi kedua mata kaki, maka ia di neraka.” (Shahih al-Bukhari, no. 5787)
Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah bab:
بَاب مَا أَسْفَلَ مِنْ الْكَعْبَيْنِ فَهُوَ فِي النَّارِ
“Apa yang menjulur labuh ke bawah dari dua mata kaki, maka ia di neraka.” (Shahih al-Bukhari, Kitab al-Libas, 7/141)
Daripada Al-Mughirah B. Syu’bah, beliau melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendatangi Sufyan B. Abi Sahl lalu memegang lipatan hujung pakaiannya seraya berkata:
يَا سُفْيَانُ لَا تُسْبِلْ إِزَارَكَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يحب الْمُسْبِلِينَ
“Wahai Sufyan, janganlah engkau meng-isbalkan pakaian engkau, kerana Allah tidak mencintai orang-orang yang isbal.” (Musnad Ahmad, no. 18151, 18216. Sunan Ibnu Majah, no. 3564. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Dalam riwayat Ibnu Hibban:
يَا سُفْيَانُ لَا تُسْبِلْ إِزَارَكَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى الْمُسْبِلِينَ
“Wahai Sufyan, janganlah engkau meng-isbalkan pakaian engkau, kerana Allah tidak melihat kepada orang-orang yang isbal.” (Shahih Ibnu Hibban, no. 5442)
Daripada Ya’qub B. ‘Aashim, bahawasanya beliau mendengar asy-Syariid berkata:
أَبْصَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يَجُرُّ إِزَارَهُ، فَأَسْرَعَ إِلَيْهِ، أَوْ هَرْوَلَ، فَقَالَ: ارْفَعْ إِزَارَكَ وَاتَّقِ اللهَ قَالَ: إِنِّي أَحْنَفُ تَصْطَكُّ رُكْبَتَايَ، فَقَالَ: ارْفَعْ إِزَارَكَ، فَإِنَّ كُلَّ خَلْقِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ حَسَنٌ فَمَا رُئِيَ ذَلِكَ الرَّجُلُ بَعْدُ إِلَّا إِزَارُهُ يُصِيبُ أَنْصَافَ سَاقَيْهِ أَوْ إِلَى أَنْصَافِ سَاقَيْهِ
“Dari kejauhan, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melihat seorang lelaki yang menjulurkan (melabuhkan) izaar-nya (kain sarung, pakaiannya). Maka beliau pun bergegas kepadanya atau dengan berlari-lari anak menuju kepada orang tersebut. Lalu beliau berkata (menegurnya):
“Angkatlah kain pakaianmu dan bertaqwalah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.”
Maka orang tersebut pun berkata:
“Sesungguhnya aku seorang yang memiliki kaki yang bengkok dan kedua lutut-ku tidak stabil ketika berjalan.”
Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tetap menyatakan:
“Angkatlah pakaianmu, kerana sesungguhnya semua ciptaan Allah ‘Azza wa Jalla adalah bagus.”
Maka setelah peristiwa tersebut, tidaklah kelihatan lelaki tersebut melainkan dengan pakaiannya (seluarnya) sentiasa terangkat hingga pada tengah-tengah kedua betisnya atau di bawah sedikit.” (Musnad Ahmad, no. 19475. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Hadis ini menjelaskan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam datang menegur pelaku isbal tanpa menanyakan terlebih dahulu sama ada si pelaku itu melakukan isbal dengan sombong atau pun tidak. Tetapi, apa yang jelas dari zahir hadis tersebut adalah, Nabi terus sahaja menegurnya supaya meninggalkan isbal, biar pun si lelaki tersebut telah memberikan alasan.
Jadi, di antara kesimpulan awal akibat melakukan isbal (tanpa sombong) adalah:
1, Berdosa dan diancam dengan neraka.
2, Tidak dicintai oleh Allah.
3, Allah tidak melihatnya (tidak menghiraukannya).
Isbal Dengan Kesombongan
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلاَءَ، لَمْ يَنْظُرِ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ القِيَامَةِ
“Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana sombong, Allah tidak akan memandangnya pada hari kiamat nanti.” (Shahih al-Bukhari, no. 3665)
Dalam riwayat yang lain; Syu’bah berkata:
لَقِيتُ مُحَارِبَ بْنَ دِثَارٍ – عَلَى فَرَسٍ، وَهُوَ يَأْتِي مَكَانَهُ الَّذِي يَقْضِي فِيهِ، فَسَأَلْتُهُ عَنْ هَذَا الحَدِيثِ – فَحَدَّثَنِي فَقَالَ: سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ مَخِيلَةً لَمْ يَنْظُرِ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ القِيَامَةِ» فَقُلْتُ لِمُحَارِبٍ: أَذَكَرَ إِزَارَهُ؟ قَالَ: مَا خَصَّ إِزَارًا وَلاَ قَمِيصًا
“Aku menemui Muhaarib B. Ditsar sedang di atas kuda dan beliau ketika itu sedang menuju ke tempat kerjanya sebagai Qadhi. Maka aku pun bertanya kepadanya tentang hadis ini. Lalu beliau pun menyampaikan hadis kepadaku, kata beliau:
“Aku mendengar ‘Abdullah B. ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata:
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sesiapa yang menjulurkan pakaiannya dengan kesombongan, maka Allah tidak akan memandangnya pada hari kiamat.” Maka aku berkata kepada Muhaarib:
“Adakah beliau menyebutkan izaar (kain sarung)?” Muhaarib menjawab, “Tidak dikhususkan sama ada izaar (kain sarung) mahupun qamish (jubah).”.” (Shahih al-Bukhari, no. 5791)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ لَمْ يَنْظُرِ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ القِيَامَةِ، فَقَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ: فَكَيْفَ يَصْنَعْنَ النِّسَاءُ بِذُيُولِهِنَّ؟ قَالَ: «يُرْخِينَ شِبْرًا»، فَقَالَتْ: إِذًا تَنْكَشِفُ أَقْدَامُهُنَّ، قَالَ: فَيُرْخِينَهُ ذِرَاعًا، لَا يَزِدْنَ عَلَيْهِ
“Sesiapa yang menjulurkan (melabuhkan) pakaiannya kerana sombong, nescaya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak akan melihatnya dengan pandangan kasih sayang pada hari kiamat.
Maka Ummu Salamah pun bertanya, “Apa yang perlu dilakukan oleh para wanita dengan hujung pakaiannya?”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab, “Hendaklah mereka menurunkan (melabuhkannya) satu jengkal dari pertengahan betis.”
Ummu Salamah berkata, “Jika begitu, sudah tentu telapak kaki mereka masih akan tersingkap (kelihatan).”
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menerangkan, “Sekiranya begitu, hendaklah mereka menurunkannya satu hasta (sekaki dari pertengahan betis) dan jangan lebih dari itu.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 1731. Bab: Melabuhkan hujung pakaian bagi wanita. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)
Hadis ini selain menerangkan tentang isbal yang dilakukan dengan disertai kesombongan, ia juga menjelaskan bahawa isbal tanpa disertai dengan sifat sombong juga tetap dilarang. Dan boleh jadi juga maknanya; mereka yang isbal itu sendiri adalah termasuk golongan manusia (lelaki) yang sombong kerana tidak mengendahkan adab-dab berpakaian yang disyari’atkan. Ini dapat dilihat dari pertanyaan Ummu Salamah di dalam hadis tersebut yang menanyakan berkenaan dengan pakaian wanita:
“Apa yang perlu dilakukan oleh para wanita dengan hujung pakaiannya?”
Maksudnya, Ummu Salamah tidak bertanya tentang sama ada sombong atau tidaknya, sebaliknya beliau lantas bertanya bagaimana pula tentang sifat atau bentuk pakaian bagi wanita.
Berkenaan dengan pertanyaan ini, al-Hafiz Ibnu Hajar al-’Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) ada menjelaskan dengan membawakan perkataan Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
قَالَ النَّوَوِيّ: ظَوَاهِر الْأَحَادِيث فِي تَقْيِيدهَا بِالْجَرِّ خُيَلَاء يَقْتَضِي أَنَّ التَّحْرِيم مُخْتَصّ بِالْخُيَلَاءِ، وَوَجْه التَّعَقُّب أَنَّهُ لَوْ كَانَ كَذَلِكَ لَمَا كَانَ فِي اِسْتِفْسَار أُمّ سَلَمَة عَنْ حُكْم النِّسَاء فِي جَرّ ذُيُولهنَّ مَعْنًى، بَلْ فَهِمَتْ الزَّجْر عَنْ الْإِسْبَال مُطْلَقًا سَوَاء كَانَ عَنْ مَخِيلَة أَمْ لَا، فَسَأَلَتْ عَنْ حُكْم النِّسَاء فِي ذَلِكَ لِاحْتِيَاجِهِنَّ إِلَى الْإِسْبَال مِنْ أَجْل سَتْر الْعَوْرَة، لِأَنَّ جَمِيع قَدَمهَا عَوْرَة، فَبَيَّنَ لَهَا أَنَّ حُكْمهنَّ فِي ذَلِكَ خَارِج عَنْ حُكْم الرِّجَال فِي هَذَا الْمَعْنَى فَقَطْ
“Berkata an-Nawawi: Di dalam hadis ini terdapat penjelasan yang menunjukkan bahawa hadis-hadis larangan isbal itu adalah merujuk kepada perbuatan isbal dengan sombong.”
(Lalu Al-Hafiz Ibnu Hajar membatah dengan mengatakan…) Sekiranya ia dibataskan dengan faktor kesombongan, sudah tentu pertanyaan daripada Ummu Salamah (kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) berkenaan hukum perbuatan para wanita yang memanjangkan hujung pakaiannya itu tidak akan membawa makna sama sekali. Tetapi sebenarnya, apa yang dapat kita fahami adalah Ummu Salamah telah memahami adanya larangan isbal secara mutlak. Sehingga (dengan kefahamannya itu) beliau bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkenaan hukum bagi para wanita di dalam permasalahan ini disebabkan perlunya mereka untuk melakukan isbal dalam rangka untuk menutup aurat mereka, kerana seluruh telapak kaki adalah merupakan aurat. Maka Nabi pun menjelaskan kepada Ummu Salamah bahawa hukum bagi para wanita di dalam perkara isbal ini berbeza dengan hukum bagi lelaki.” (Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Bari, 16/333. An-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 14/62)
Dalam sebuah hadis yang lain, daripada Abu Umamah al-Bahili, beliau berkata:
بَيْنَمَا نَحْنُ مَعَ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ لَحِقَنَا عَمْرو بْن زُرَارَةَ الْأَنْصَارِيّ فِي حُلَّة إِزَار وَرِدَاء قَدْ أَسْبَلَ، فَجَعَلَ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْخُذ بِنَاحِيَةِ ثَوْبه وَيَتَوَاضَع لِلَّهِ وَيَقُول: عَبْدك وَابْن عَبْدك وَأَمَتك، حَتَّى سَمِعَهَا عَمْرو فَقَالَ: يَا رَسُول اللَّه إِنِّي حَمْش السَّاقَيْنِ، فَقَالَ: يَا عَمْرو إِنَّ اللَّه قَدْ أَحْسَنَ كُلّ شَيْء خَلَقَهُ، يَا عَمْرو إِنَّ اللَّه لَا يُحِبّ الْمُسْبِل
“Ketika kami bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tiba-tiba ‘Amru B. Zurarah al-Anshari datang menyertai kami. Ketika itu beliau memakai pakaian berupa kain dan jubah dalam keadaan isbal. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memegang hujung pakaian beliau dengan bertawadhu’ kepada Allah dan berkata:
“Ya Allah, inilah hamba-Mu (lelaki) dan anak dari hamba-Mu (lelaki) serta anak dari hamba-Mu (perempuan)” sehingga didengari oleh ‘Amru B. Zurarah. Maka beliau pun berkata (untuk memberitahu sesuatu):
“Wahai Rasulullah, aku ini memiliki dua betis yang kecil.”
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata:
“Wahai ‘Amru, sesungguhnya Allah telah memperindahkan segala sesuatu yang Dia ciptakan. Wahai ‘Amru, sesungguhnya Allah tidak mencintai orang yang isbal.” (Ath-Thabrani, Mu’jam al-Kabir, no. 7909. Ibnu Hajar, Fathul Bari, 16/336. Majma’ az-Zawa’id, 5/216. Al-Albani, Silsilah al-Ahadits ash-Shahihah, no. 2682)
Berdasarkan hadis ini, al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah mengatakan:
وَظَاهِره أَنَّ عَمْرًا الْمَذْكُور لَمْ يَقْصِد بِإِسْبَالِهِ الْخُيَلَاء، وَقَدْ مَنَعَهُ مِنْ ذَلِكَ لِكَوْنِهِ مَظِنَّة
“Zahir hadis tersebut menunjukkann bahawa ‘Amr tidaklah bermaksud sombong dengan perbuatan isbalnya. Dan ternyata Rasulullah tetap melarang beliau dari isbal kerana (isbal) itu termasuk dari tanda kesombongan.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 10/264)
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam beliau bersabda:
ثَلَاثَةٌ لَا يُكَلِّمُهُمُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَلَا يَنْظُرُ إِلَيْهِمْ وَلَا يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ قَالَ: فَقَرَأَهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَ مِرَارًا، قَالَ أَبُو ذَرٍّ: خَابُوا وَخَسِرُوا، مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: الْمُسْبِلُ، وَالْمَنَّانُ، وَالْمُنَفِّقُ سِلْعَتَهُ بِالْحَلِفِ الْكَاذِبِ
“Tiga jenis manusia yang mana pada hari kiamat nanti Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak akan berbicara terhadap mereka (dengan perkataan yang baik), tidak akan memandang mereka (dengan pandangan kasih-sayang), tidak akan menyucikan mereka (dari dosa-dosa), malah mereka mendapat azab yang pedih.” Rasulullah mengulangi pernyataan ini sehingga tiga kali.
Berkata Abu Dzarr: “Sebenarnya orang-orang tersebut telah gagal dan rugi. Beliau bertanya: “Siapakah mereka wahai Rasulullah?” Rasulullah pun menjawab:
“Orang yang isbal (dengan sombong), orang yang suka mengungkit-ngungkit sesuatu yang telah diberikan, dan orang yang meniagakan barang dagangannya dengan sumpah palsu.” (Shahih Muslim, no. 106. Bab: Besarnya keharaman meng-isbalkan pakaian, mengungkit-ungkit pemberian, menjual barang dagangan dengan sumpah palsu, dan penjelasan tentang tiga golongan yang tidak akan berbicara dengan Allah di Hari Kiamat, tidak dipandang oleh Allah, dan tidak disucikan oleh Allah, serta bagi mereka azab yang pedih)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِزْرَةُ الْمُؤْمِنِ إِلَى أَنْصَافِ سَاقَيْهِ، لَا جُنَاحَ عَلَيْهِ فِيمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْكَعْبَيْنِ، مَا أَسْفَلَ مِنْ ذَلِكَ فَفِي النَّارِ، مَا أَسْفَلَ مِنْ ذَلِكَ فَفِي النَّارِ، لَا يَنْظُرُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَى مَنْ جَرَّ إِزَارَهُ بَطَرًا
“Pakaian orang-orang mukmin (lelaki beriman) itu menjulur sekadar pertengahan betis. Tidaklah berdosa (jika menurunkannya sehingga pada bahagian kaki) di antara pertengahan betis dengan kedua mata kaki. Ada pun jika dilabuhkan lebih rendah dari itu (iaitu menjulur melepasi mata kaki ke bawah), maka tempatnya di neraka. Pada hari Kiamat Allah tidak akan melihat kepada sesiapa yang menjulurkan (melabuhkan) pakaiannya dengan kesombongan.” (Muwaththa’ Imam Malik, no. 12. Bab: Apa yang datang pada lelaki yang isbal pakaiannya. Musnad Ahmad, no. 11925. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Dalam riwayat Ahmad dan Abu Daud:
إِزْرَةُ الْمُؤْمِنِ إِلَى نِصْفِ السَّاقِ، وَلَا حَرَجَ، أَوْ لَا جُنَاحَ فِيمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْكَعْبَيْنِ، مَا كَانَ أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ فَهُوَ فِي النَّارِ، وَمَنْ جَرَّ إِزَارَهُ بَطَرًا لَمْ يَنْظُرِ اللهُ إِلَيْهِ
“Pakaian orang-orang mukmin (atau muslim) adalah pada paras pertengahan betis. Tidak mengapa atau tidaklah berdosa jika dilabuhkan sekitar antara (dari pertengahan betis) hingga dua mata kaki. Ada pun jika dilabuhkan lebih rendah dari itu (iaitu menjulur melepasi dua mata kaki ke bawah), maka tempatnya di neraka. Dan sesiapa yang melabuhkan pakaiannya dengan kesombongan, Allah tidak akan melihatnya (pada hari kiamat).” (Musnad Ahmad, no. 11397, 11925. Sunan Abu Daud, no. 4093. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Pada hadis ini, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah menjelaskan dua bentuk hukum isbal sekaligus. Iaitu hukum (akibat) isbal secara umum, dan hukum isbal jika disertai dengan kesombongan.
Kesimpulan:
Akibat isbal (dengan disertai kesombongan):
1, Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak akan memandangnya (dengan pandangan kasih sayang) pada hari kiamat.
2, Tidak akan berbicara dengannya (dengan bicara yang baik) pada hari kiamat.
3, Tidak akan membersihkannya dari dosa.
Antaranya kerana sombong adalah termasuk faktor yang menjerumuskan seseorang ke dalam wilayah Syirik. Dan sombong juga menjadikan seseorang tidak masuk ke dalam Syurga.
Sebagaimana kata Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
“Tidak akan masuk Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar zarrah.” (Shahih Muslim, no. 91)
Isbal Termasuk Kesombongan
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah bersabda dalam rangka memberikan nasihat, kata beliau:
وَلَا تَحْقِرَنَّ شَيْئًا مِنَ الْمَعْرُوفِ، وَأَنْ تُكَلِّمَ أَخَاكَ وَأَنْتَ مُنْبَسِطٌ إِلَيْهِ وَجْهُكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنَ الْمَعْرُوفِ، وَارْفَعْ إِزَارَكَ إِلَى نِصْفِ السَّاقِ، فَإِنْ أَبَيْتَ فَإِلَى الْكَعْبَيْنِ، وَإِيَّاكَ وَإِسْبَالَ الْإِزَارِ، فَإِنَّهَا مِنَ المَخِيلَةِ، وَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمَخِيلَةَ، وَإِنِ امْرُؤٌ شَتَمَكَ وَعَيَّرَكَ بِمَا يَعْلَمُ فِيكَ، فَلَا تُعَيِّرْهُ بِمَا تَعْلَمُ فِيهِ، فَإِنَّمَا وَبَالُ ذَلِكَ عَلَيْهِ
“Janganlah kalian menghina sesuatu yang baik. Berbicaralah dengan wajah yang menyenangkan lagi berseri-seri terhadap ahli keluarga engkau kerana itu sebahagian dari kebaikan. Angkatlah (tinggikanlah) pakaian (kain sarung, seluar) engkau hingga ke pertengahan betis jika tidak maka hingga setakat dua buku lali (dua mata kaki). Dan awasilah dirimu dari meng-isbalkan izaar (melabuhkan pakaian hingga melepasi dua buku lali)kerana ia sebahagian dari kesombongan dan sesungguhnya Allah tidak mencintai orang-orang yang sombong.Jika ada orang yang menghina dan mencaci engkau dengan sebab kekurangan yang ada pada dirimu, maka janganlah engkau melakukan perkara yang sama walaupun engkau mengetahui kekurangan orang tersebut, kerana keburukan tersebut hanya akan menimpanya (pada hari kiamat).” (Sunan Abu Daud, no. 4084. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah berkata:
أَنَّ الْإِسْبَال يَسْتَلْزِم جَرّ الثَّوْب وَجَرّ الثَّوْب يَسْتَلْزِم الْخُيَلَاء وَلَوْ لَمْ يَقْصِد اللَّابِس الْخُيَلَاء
“Bahawasanya isbal itu adalah perbuatan melabuhkan pakaian, dan melabuhkan pakaian itu termasuk kesombongan walaupun si pelakunya tidak bermaksud sombong dengan pakaiannya tersebut.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 10/264)
Di Antara Isbal Dengan Disertai Sombong Dan Tanpa Sombong
Syaikh Muhammad B. Soleh al-‘Utsaimin rahimahullah menyatakan:
“Jika isbal itu dilakukan kerana bermegah-megah dan sombong, maka perbuatan tersebut termasuk ke dalam kategori dosa besar dan hukumannya (akibatnya) sangat berat.” (Majmu’ Fatwa Ibnu Utsaimin susunan Fahd B. Nashir, m/s. 309. Dinukil dari Abul Harith Kholiiful Hadi, Dosakah Isbal Tanpa Sombong, m/s. 16, Darul Atsar, Cet. 1, Nov. 2007)
Perbuatan isbal yang disertai dengan perasaan sombong, ia adalah suatu kesalahan yang sangat berat berbanding dengan perbuatan isbal tanpa disertai dengan kesombongan yang mana ia lebih ringan (dosanya).
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah, selepas beliau menyebutkan hadis-hadis berkenaan isbal, beliau berkata:
وفي هذه الأحاديث أن إسبال الإزار للخيلاء كبيرة وأما الإسبال لغير الخيلاء فظاهر الأحاديث تحريمه أيضا
“Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa melakukan isbal yang disertai dengan rasa sombong merupakan salah satu dari dosa-dosa besar. Adapun sekiranya dilakukan dengan tidak disertai dengan rasa sombong, dari zahir hadis-hadis tersebut, ia masih tetap juga haram (walaupun tidak seberat isbal dengan sombong).” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 10/263)
Pelaku Isbal Terancam Dengan Kepura-puraan dan Kedustaan
Kata Ibn al-‘Arabi al-Maliki rahimahullah (Wafat: 563H):
لا يجوز لرجل أن يجاوز بثوبه كعبه ويقول: لا أتكبر فيه؛ لأن النهي تناوله لفظاً، وتناول علته، ولا يجوز أن يتناول اللفظ حكماً فيقال إني لست ممن يمتثله لأن العلة ليست فيَّ، فإنه مخالفة للشريعة، ودعوى لا تسلم له، بل مِن تكبره يطيل ثوبه وإزاره فكذبه معلوم في ذلك قطعًا
“Tidak dibolehkan bagi seorang lelaki untuk melabuhkan pakaiannya melewati mata kaki lalu kemudian dia berdalih dengan berkata:
“Aku tidak melakukannya kerana sombong.”
Kerana larangan tersebut telah pun terkena pada dirinya sama ada secara lafaz (ucapan) mahupun ‘illat (bersebab), dan lafaz ucapannya tersebut tidak boleh dikaitkan dengan persoalan hukum lalu ia boleh pula berkata “Aku bukanlah orang yang melakukannya kerana sombong”, kerana ‘illat (sebab) tersebut tidak pun berkait dengan kata “aku” kerana perkataan tersebut menyelisihi syari’at dan anggapan (dakwaan) tersebut tidak dapat menyelamatkannya. Bahkan kerana kesombongannyalah dia tergamak memanjangkan pakaian dan izaar-nya. Oleh sebab itulah menunjukkan wujudnya sifat dusta dalam dirinya tentang persoalan ini.” (Ibn al-‘Arabi, ‘Aridhah al-Ahwadzi bi Syarah Shahih at-Tirmidzi, 7/238 – Daar al-Kitab al-‘Ilmiyah)
Bahkan perkataan “Aku tidak melakukannya kerana sombong” ini memang begitu jelas menyelisihi sunnah. Menyelisihi pula sikap dan akhlak para sahabat. Kerana para sahabat itu apabila mereka diingatkan tentang larangan isbal, mereka pun bersegera meninggalkannya. Tiada seorang pun mengelak dengan mengatakan, “Aku tidak sombong.” Sepatutnya demikianlah kita mencontohi mereka yang mana kita ini tidaklah lebih baik berbanding mereka. Lihatlah sikap Abu Bakr, betapa berhati-hatinya beliau. Menunjukkan cara faham Abu Bakar terhadap hadis:
“Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana sombong, Allah tidak akan memandangnya (dengan pandangan kasih-sayang) pada hari kiamat.” amat jauh berbeza dengan cara faham sebahagian orang yang sengaja bahkan suka dengan pakaiannya yang isbal.
Mendengar sahaja hadis tersebut, cepat-cepat beliau berkata:
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya salah satu sisi belahan kain-ku ini menjulur turun, kecuali apabila aku menjaganya dari keadaan tersebut.”
Dari perkataan beliau ini menunjukkan kebimbangan kalau-kalau beliau termasuk orang yang sombong kerana kainnya yang jatuh melorot walaupun tanpa disengajakan. Tidak pula beliau mengatakan, “Aku tidaklah termasuk orang yang sombong wahai Rasulullah…”
Lalu bagaimana dengan mereka yang sengaja melabuhkan atau meng-isbalkan pakaiannya? Tiada kebimbangankah walaupun sedikit?
Sikap Tegas ‘Umar
Ibnu Mas’oud radhiyallahu ‘anhu berkata:
دَخَلَ شَابٌّ عَلَى عُمَرَ، فَجَعَلَ الشَّابُّ يُثْنِي عَلَيْهِ، قَالَ: فَرَآهُ عُمَرُ يَجُرُّ إِزَارَهُ، قَالَ: فَقَالَ لَهُ: «يَا ابْنَ أَخِي، ارْفَعْ إِزَارَكَ فَإِنَّهُ أَتْقَى لِرَبِّكَ، وَأَنْقَى لِثَوْبِكَ»، قَالَ: فَكَانَ عَبْدُ اللَّهِ يَقُولُ: يَا عَجَبًا لِعُمَرَ، إِنْ رَأَى حَقَّ اللَّهِ عَلَيْهِ فَلَمْ يَمْنَعْهُ مَا هُوَ فِيهِ أَنْ يَتَكَلَّمَ بِهِ
“Pernah seorang pemuda masuk menemui ‘Umar lalu ia memuji-muji ‘Umar. Lalu ‘Umar mendapati pemuda tersebut melabuhkan izaarnya (pakaiannya), maka beliau pun berkata kepada pemuda tersebut:
“Wahai anak saudaraku, angkatlah pakaianmu kerana perkara tersebut lebih menjaga ketaqwaan engkau kepada Rabb-mu dan lebih bersih untuk pakaian engkau.” Maka ketika itu ‘Abdullah (Ibnu Mas’oud) pun berkata:
“Betapa kagumnya aku terhadap ‘Umar. Apabila dia melihat sesuatu yang mana Allah punyai hak atasnya, maka tidak ada sesuatu pun yang dapat menghalangnya untuk membuat teguran.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 24815)
Kisah ini turut terdapat dalam al-Bidayah wa an-Nihayah karya al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah. Ia berlaku ketika ‘Umar sedang dalam keadaan tenat setelah ditikam ketika mengimami solat Subuh di masjid yang membawa kepada kematiannya.
Larangan Isbal Adalah Mutlak (Bagi Lelaki) Walau pun Tanpa Sombong
Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata:
مَرَرْتُ عَلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَفِي إِزَارِي اسْتِرْخَاءٌ، فَقَالَ: «يَا عَبْدَ اللهِ، ارْفَعْ إِزَارَكَ»، فَرَفَعْتُهُ، ثُمَّ قَالَ: «زِدْ»، فَزِدْتُ، فَمَا زِلْتُ أَتَحَرَّاهَا بَعْدُ، فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ: إِلَى أَيْنَ؟ فَقَالَ: أَنْصَافِ السَّاقَيْنِ
“Aku pernah melintasi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam keadaan memakai izaar (kain sarung) yang melorot turun (tanpa disengajakan). Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata:
“Wahai ‘Abdullah (Ibnu ‘Umar), angkatlah kainmu!”
Lalu aku pun mengangkatnya (dari terlondeh turun). Kemudian beliau berkata lagi:
“Naikkan tinggi lagi sedikit!”
Maka aku pun menaikkannya lagi. Dan setelah peristiwa itu, aku pun sentiasa menjaga kedudukan kainku. Lalu sebahagian orang bertanya kepada ku, “Sehingga paras mana?”
Aku menjawab, “Sehingga ke pertengahan kedua betis.”.” (Shahih Muslim, Kitab al-Libas wa az-Zinah, no. 2086. Bab: Haramnya melabuhkan pakaian kerana sombong dan penjelasan tentang had melabuhkan pakaian yang dibenarkan dan dianjurkan)
Syaikh al-Albani rahimahullah berkata di dalam kitab beliau, Mukhtashar asy-Syama’il al-Muhammadiyah berkenaan hadis tersebut:
“Jika Ibnu ‘Umar sebagai seorang sahabat yang memiliki keutamaan dan paling bertaqwa di antara mereka itu pun tidak didiamkan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam ketika beliau melihat kainnya turun tanpa disengajakan, malah beliau tetap memerintahkan untuk mengangkat kainnya tersebut. Maka, bukankah situasi ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa adab ini sama sekali tidak berkaitan dengan ada atau tidak adanya faktor kesombongan…” (Mukhtashar asy-Syama’il al-Muhammadiyah, Mukaddimah, m/s. 11 – Maktabah al-Ma’aarif)
Atau adakah kita akan mengatakan bahawa Ibnu ‘Umar melakukannya kerana sombong sehingga beliau ditegur oleh Nabi? Lalu kita katakan bahawa yang dilarang oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hanyalah isbal dengan disertai sombong sahaja? Sudah tentu tidak, keadaan itu sama sekali tidak mungkin. Dan telah jelas bahawa Ibnu ‘Umar tidaklah melakukannya kerana sombong, bahkan ia berlaku tanpa sengaja kerana kain tersebut turun (melurut) dengan sendirinya. Lalu bagaimana pula yang melakukannya dengan sengaja?
Maka, bertaqwalah kepada Allah dengan sedaya-upaya… Atau kita merasa diri kita lebih suci berbanding Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhuma, lebih suci dari ‘Amru B. Zurarah al-Anshari, lebih baik dari Sufyan B. Abi Sahl, dan juga sahabat-sahabat beliau lainnya?
Benarkah Abu Bakar Melakukan Isbal?
Sebahagian mereka yang membolehkan isbal cuba berdalil dengan keadaan Abu Bakar yang kain pakaiannya terlondeh (melorot) tanpa disengajakan.
Hadisnya: Daripada Salim, daripadanya ayahnya, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata:
مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ لَمْ يَنْظُرْ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ قَالَ أَبُو بَكْرٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أَحَدَ شِقَّيْ إِزَارِي يَسْتَرْخِي إِلَّا أَنْ أَتَعَاهَدَ ذَلِكَ مِنْهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَسْتَ مِمَّنْ يَصْنَعُهُ خُيَلَاءَ
“Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana sombong, Allah tidak akan memandangnya (dengan pandangan kasih-sayang) pada hari kiamat.”
Pada ketika itu Abu Bakar pun berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya salah satu sisi belahan kain-ku ini menjulur turun, kecuali apabila aku menjaganya dari keadaan tersebut.”
Maka Rasulullah pun menjelaskan, “Engkau tidak termasuk orang yang melakukannya dengan sombong.” (Shahih al-Bukhari, no. 3665, 5784)
Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan hadis ini dalam Syarahnya:
وَكَانَ سَبَب اِسْتِرْخَائِهِ نَحَافَة جِسْم أَبِي بَكْر
“Sebab turunnya (kain Abu Bakar) adalah kerana kurusnya badan Abu Bakar.”
إِلَّا أَنْ أَتَعَاهَد ذَلِكَ مِنْهُ، أَيْ يَسْتَرْخِي إِذَا غَفَلْت عَنْهُ، وَوَقَعَ فِي رِوَايَة مَعْمَر عَنْ زَيْد بْن أَسْلَمَ عِنْد أَحْمَد”إِنَّ إِزَارِي يَسْتَرْخِي أَحْيَانًا” فَكَأَنَّ شَدّه كَانَ يَنْحَلّ إِذَا تَحَرَّكَ بِمَشْيٍ أَوْ غَيْره بِغَيْرِ اِخْتِيَاره، فَإِذَا كَانَ مُحَافِظًا عَلَيْهِ لَا يَسْتَرْخِي لِأَنَّهُ كُلَّمَا كَادَ يَسْتَرْخِي شَدَّهُ. وَأَخْرَجَ اِبْن سَعْد مِنْ طَرِيق طَلْحَة بْن عَبْد اللَّه بْن عَبْد الرَّحْمَن بْن أَبِي بَكْر عَنْ عَائِشَة قَالَتْ: ” كَانَ أَبُو بَكْر أَحْنَى لَا يَسْتَمْسِك إِزَاره يَسْتَرْخِي عَنْ حَقْوَيْهِ” وَمِنْ طَرِيق قَيْس بْن أَبِي حَازِم قَالَ: “دَخَلْت عَلَى أَبِي بَكْر وَكَانَ رَجُلًا نَحِيفًا”
“(Berkenaan perkataan Abu Bakar): “Kecuali apabila aku menjaganya dari keadaan tersebut”, maksudnya:
Salah satu sisi belahan kainnya tersebut menjulur (melorot) turun apabila aku terlupa darinya (tanpa ada kesengajaan).
Dan di dalam riwayat Ma’mar daripada Zaid B. Aslam yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad, bahawasanya Abu Bakar berkata:
“Sesungguhnya kain-ku kadangkala menjulur turun dengan sendirinya.”
Jadi, ikatan kain beliau kadangkala menjadi longgar ketika digunakan untuk bergerak, sama ada dengan berjalan atau pun gerakkan yang lain, dan terjadinya keadaan tersebut bukanlah disebabkan oleh kehendaknya sendiri. Ada pun ketika beliau menjaga kainnya (ketika bukan dalam keadaan terlupa) maka tidak akan menjulur turun, kerana setiap kali kainnya turun (melurut ke bawah) beliau segera mengetatkan semula ikatannya.
Dan Imam Ibnu Sa’ad telah mengeluarkan sebuah riwayat dari jalur Thalhah B. ‘Abdillah B. ‘Abdirrahman B. Abu Bakr daripada ‘Aisyah, beliau berkata:
“Abu Bakar adalah orang yang tubuhnya sangat kurus sehingga tidak mampu menahan kainnya supaya tidak melorot turun dari pinggangnya.”
Dan Imam Ibnu Sa’ad juga mengeluarkan sebuah riwayat dari jalur Qais B. Abi Hazim, beliau berkata:
“Aku masuk menemui Abu Bakar dan beliau adalah lelaki yang sangat kurus.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 16/326)
Berkenaan dengan perkataan Rasulullah:
“Engkau tidak termasuk orang yang melakukannya kerana sombong”, al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah menjelaskan bahawa:
وَفِيهِ أَنَّهُ لَا حَرَج عَلَى مَنْ اِنْجَرَّ إِزَاره بِغَيْرِ قَصْده مُطْلَقًا
“Padanya merupakan dalil bahawa tidak ada dosa bagi seseorang yang kain (pakaiannya) menjulur turun sehingga terjadi isbal jika berlaku tanpa sengaja.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 16/326)
Ibnu Hazm rahimahullah berkata di dalam kitabnya, al-Muhalla:
وحق كل ثوب يلبسه الرجل أن يكون إلى الكعبين لا أسفل البتة، فان أسبله فزعا أو نسيانا فلا شئ عليه
“Haq setiap pakaian bagi lelaki adalah sehingga mata kaki, dan sama sekali tidak boleh lebih rendah lagi (dari itu). Ada pun apabila lelaki tersebut pakaiannya menjadi isbal disebabkan terkejut atau lupa, maka tiada dosa baginya.” (Ibnu Hazm, al-Muhalla, 4/73)
Berkenaan hadis kisah Abu Bakar ini, Syaikh al-Albani rahimahullah menjawab syubhat mereka yang membolehkan isbal dengan menggunakan hadis tersebut, katanya (di dalam Mukhtashar Syamail Muhammadiyah):
“… Sehingga dari kalangan pendakwah dan selainnya akan anda temui orang-orang yang tidak memiliki kepedulian sama sekali di dalam permasalahan ini. Mereka tidak ambil peduli di ketika mana mereka dengan sengaja menurunkan pakaiannya sehingga terseret ke bumi, serta mengiringinya dengan dakwaan bahawa dia tidak melakukannya dengan sombong, sambil tanpa rasa bersalah (bahkan gembira) hatinya dengan adanya hadis perkataan Rasulullah terhadap Abu Bakar (sebagaimana hadis di atas): “Engkau tidak termasuk orang yang melakukannya dengan sombong”.
(Sebenarnya) mereka lalai dengan adanya perbezaan yang sangat ketara di antara Abu Bakar dengan diri mereka. Di mana Abu Bakar benar-benar tidak sengaja melakukannya (malah telah berusaha sedaya-upaya mengangkat seluarnya), sebagaimana telah jelas di dalam hadis tersebut menyatakan bahawa kainnya menjulur turun tanpa sengaja. Sedangkan mereka yang menggunakan hadis tersebut untuk membolehkan isbal, mereka melakukannya dengan kesengajaan. Di mana mereka tidak tahu atau sengaja bersikap bodoh (atau menganggap bodoh) terhadap hadis-hadis yang menjelaskan tentang sifat pakaian Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam….” (Al-Albani, Mukhtashar asy-Syama’il al-Muhammadiyah, m/s. 10 – al-Maktabah al-Ma’aarif)
Demikian jugalah sebagaimana kata Imam adz-Dzahabi rahimahullah (Wafat: 748H):
وكذلك ترى الفقيه المترف إذا ليم في تفصيل فرجية تحت كعبيه، وقيل له: قد قال النبي صلى الله عليه وسلم: ” ما أسفل من الكعبين من الازار ففي النار “، يقول: إنما قال هذا فيمن جر إزاره خيلاء، وأنا لا أفعل خيلاء. فتراه يكابر، ويبرئ نفسه الحمقاء، ويعمد إلى نص مستقل عام، فيخصه بحديث آخر مستقل بمعنى الخيلاء، ويترخص بقول الصديق: إنه يا رسول الله يسترخي إزاري، فقال: ” لست يا أبا بكر ممن يفعله خيلاء ” فقلنا: أبو بكر رضي الله عنه لم يكن يشد إزاره مسدولا على كعبيه أولا، بل كان يشده فوق الكعب، ثم فيما بعد يسترخي. وقد قال عليه السلام: ” إزرة المؤمن إلى أنصاب ساقيه، لا جناح عليه فيما بين ذلك وبين الكعبين ” ومثل هذا في النهي لمن فصل سراويل مغطيا لكعابه. ومنه طول الاكمام زائدا، وتطويل العذبة. وكل هذا من خيلاء كامن في النفوس.
“Demikianlah dapat anda lihat seorang ahli fiqih yang hidup mewah jika berpakaian dia labuhkan hingga melepasi kedua mata kakinya. Bila dia diingatkan dengan perkataan Nabi, “Kain yang berada di bawah mata kaki itu di neraka.” Dia beralasan bahawa hadis tersebut ditujukan untuk orang yang melabuhkan (menyeret pakaian) kerana sombong, sedangkan aku tidaklah melakukannya kerana sombong.
Anda lihatlah bagaimana ia menyombongkan diri lalu kemudian ia membersihkan dirinya yang diliputi kebodohan. Dia ambil dalil yang bersifat umum yang berdiri sendiri lalu dia khususkan dengan dalil lain yang berdiri sendiri yang mengaitkan isbal dengan kesombongan.
(Kemudian) Dia beralasan pula dengan perkataan Abu Bakar ash-Shiddiq, “Wahai Rasulullah, kain sarungku melorot.” Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Wahai Abu Bakr, engkau tidaklah termasuk orang yang melakukannya kerana kesombongan.”
Kami katakan bahawa Abu Bakr tidaklah sejak awal memakai pakaian (kain sarung) dalam keadaan dilabuhkan sampai melepasi mata kaki. Apa yang berlaku adalah, asalnya Abu Bakr memakai kain sarung dalam keadaan hujung kain sarungnya (pakaiannya) di atas mata kaki kemudian melorot dengan sendirinya. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Pakaian seorang mukmin itu sebatas pertengahan betis, tidak berdosa jika dilabuhkan hingga antara pertengahan betis dengan dua mata kaki.” Sama juga kesnya dengan larangan isbal bagi orang yang memakai seluar panjang hingga melepasi mata kakinya. Termasuk isbal yang terlarang adalah panjang lengan baju yang terlalu berlebihan. Ini semua disebabkan kesombongan yang terpendam di dalam hatinya.” (Adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 3/234 – Mu’asasah ar-Risalah, Tahqiq Syu’aib al-Arnauth)
Maka dari hadis keadaan Abu Bakr dan keterangan para ulama tentangnya ini, dapat kita telusuri bahawa hakikatnya Abu Bakr tidaklah isbal sedikitpun, cuma kainnya yang melorot. Tetapi dalam keadaan seperti itu pun beliau tetap berasa bimbang dan risau! Lalu bagaimana dengan kalian yang isbal dengan sengaja? Tidak melorot kainnya, dan tidak pula ada usaha untuk tidak isbal?
Lalu katakanlah, seandainya kalau mungkin benar kerana alasan sombong maka isbal tersebut terlarang, maka adakah telah benar-benar mereka itu tidak sombong? Siapa yang memastikannya untuk mereka? Apakah mereka sendiri yang menyucikan diri mereka? Atau adakah mereka telah mendapat kepastian sebagaimana Abu Bakar radhiyallahu ‘anhu mendapat pengesahan daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam?
Kemudian dalam masa yang sama, Abu Bakar sentiasa berhati-hati terhadap pakaiannya di mana apabila ia sedar sahaja pakaiannya jatuh (melorot), maka ia cepat-cepat menarik dan mengikatnya semula. Lalu bagaimana dengan orang-orang yang sengaja melakukan isbal pada hari ini yang cuba berhujah dengan hadis Abu Bakar ini? Apakah mereka telah turut mengamalkan sikap Abu Bakar ini?
Maka, cam-kanlah baik-baik. Dan bertaqwalah kepada Allah.
Benarkah Nabi Juga Melakukan Isbal?
Selain itu, mereka yang membenarkan isbal turut berhujah kononnya Nabi juga melakukan isbal.
Hadis daripada Abi Bakrah radhiyallahu ‘anhu, bahawasanya beliau berkata:
خَسَفَتْ الشَّمْسُ وَنَحْنُ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ يَجُرُّ ثَوْبَهُ مُسْتَعْجِلًا حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ
“Pernah terjadi gerhana matahari di ketika kami sedang bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Maka beliau pun berdiri lalu sambil menyeret pakaiannya yang menjulur dengan tergesa-gesa sehingga beliau sampai masuk ke dalam masjid…” (Shahih al-Bukhari, no. 5785)
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah menjelaskan berkenaan hadis ini:
” فَقَامَ يَجُرّ ثَوْبه مُسْتَعْجِلًا ” فَإِنَّ فِيهِ أَنَّ الْجَرّ إِذَا كَانَ بِسَبَبِ الْإِسْرَاع لَا يَدْخُل فِي النَّهْي
“(Pernyataan): Berkenaan penjelasan “فَقَامَ يَجُرّ ثَوْبه مُسْتَعْجِلًا” (Maka beliau pun berdiri lalu sambil menyeret pakaiannya yang menjulur dengan tergesa-gesa), perkataan ini sebenarnya mengandungi penjelasan bahawa perbuatan isbal yang disebabkan oleh keadaan tergesa-gesa itu tidaklah termasuk dalam kategori larangan.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 16/327)
Hadis ini sebenarnya menjelaskan berkenaan persoalan isbal yang berlaku disebabkan terlupa atau kerana tergesa-gesa (kelam-kabut). Dengan ini, tidak timbul persoalan bolehnya isbal jika tidak disertai rasa kesombongan. Sekaligus ia juga masih tetap tidak boleh digunakan sebagai hujjah untuk isbal di dalam keadaan yang penuh kesedaran (senang) manakala hadis ini adalah menunjukkan isbal yang berlaku tanpa sengaja dan atas sebab tergesa-gesa.
Batasan Pakaian Supaya Tidak Isbal
1, Diturunkan sehingga ke pertengahan betis atau ke bawah sedikit. Berdasarkan dari hadis dari Ibnu ‘Umar dan asy-Syarid di atas tadi.
Demikian juga sebagaimana hadis daripada Hudzaifah radhiyallahu ‘anhu. Beliau berkata:
أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَضَلَةِ سَاقِي، أَوْ سَاقِهِ، فَقَالَ: هَذَا مَوْضِعُ الإِزَارِ، فَإِنْ أَبَيْتَ فَأَسْفَلَ، فَإِنْ أَبَيْتَ فَلَا حَقَّ لِلإِزَارِ فِي الكَعْبَيْنِ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memegang otot kedua betisku atau kakiku lalu berkata:
“di sinilah batas pakaian (bagi lelaki), jika enggan maka boleh turunkan sedikit lagi, jika enggan juga, maka tiada haq (kebenaran) bagi pakaian menjulur ke bawah (melepasi) kedua mata kaki.” (Musnad Ahmad, no. 23243. Sunan at-Tirmidzi, no. 1783. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)
2, Iaitu selagi mana tidak menjulur ke bawah melebihi (melepasi) batas atau paras mata kaki (buku lali).
Ibnu Hazm rahimahullah berkata di dalam kitabnya, al-Muhalla:
وحق كل ثوب يلبسه الرجل أن يكون إلى الكعبين لا أسفل البتة
“Haq setiap pakaian bagi lelaki adalah sehingga mata kaki, dan sama sekali tidak boleh lebih rendah lagi (dari itu).” (Ibnu Hazm, al-Muhalla, 4/73)
Dan demikianlah bentuk pakaian Nabi sebagaimana dalam sebuah hadis Asy’ats daripada pak ciknya, daripada pak ciknya. Beliau berkata:
إِنِّي لَبِسُوقِ ذِي الْمَجَازِ عَلَيَّ بُرْدَةٌ لِي مَلْحَاءُ أَسْحَبُهَا، قَالَ: فَطَعَنَنِي رَجُلٌ بِمِخْصَرَةٍ فَقَالَ: ارْفَعْ إِزَارَكَ فَإِنَّهُ أَبْقَى وَأَنْقَى، فَنَظَرْتُ فَإِذَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَظَرْتُ، فَإِذَا إِزَارُهُ إِلَى أَنْصَافِ سَاقَيْهِ
“Aku berada di pasar Dzil Majaaz, aku mengenakan burdah (selimut) kelabu milikku yang aku labuhkan (terseret) lalu seorang lelaki mencelaku dengan tongkatnya, beliau berkata:
“Angkatlah pakaian engkau kerana itu lebih membuatkannya terjaga dan bersih.” Aku pun melihat ternyata orang itu adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Lalu aku melihat padanya, ternyata pakaiannya (kain sarungnya) pada paras pertengahan betisnya.” (Musnad Ahmad, no. 23806. Lihat juga dalam Mukhtashar asy-Syama’il al-Muhammadiyah oleh al-Albani, no. 97)
Demikian jugalah pakaian sahabat-sahabat Rasulullah sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah daripada Abu Ishaq rahimahullah:
رَأَيْتُ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَأْتَزِرُونَ عَلَى أَنْصَافِ سُوقِهِمْ، فَذَكَرَ أُسَامَةَ بْنَ زَيْدٍ، وَابْنَ عُمَرَ، وَزَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ، وَالْبَرَاءَ بْنَ عَازِبٍ
“Aku melihat orang-orang dari kalangan sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, mereka mengenakan izaar (kain sarung/seluar) separas pertengahan betis-betis mereka.” Maka beliau menyebutkan (sebahagian dari sahabat-sahabat tersebut): Usamah B. Zaid, Ibnu ‘Umar, Zaid B. Arqam, dan Al-Baraa’ B. ‘Aazib. (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 24830)
Jadi dalam persoalan ini, batas labuhnya pakaian lelaki itu dibolehkan dengan dua bentuk. Pertamanya, bentuk yang disukai iaitu pakaian yang berada pada paras pertengahan betis, tidak diangkat ke atas, dan tidak pula dilabuhkan lagi ke bawah. Keduanya, bentuk yang dibenarkan iaitu yang dilabuhkan ke bawah melepasi paras pertengahan betis, tetapi tidak sampai melepasi dua mata kaki (buku lali).
Mengangkat Pakaian Sehingga Melampaui Pertengahan Betis
Dalam persoalan ini, Imam Ibnu Abi Syaibah membawakan sebuah riwayat daripada Ibnu Sirin rahimahullah:
عَنِ ابْنِ سِيرِينَ، قَالَ: كَانُوا يَكْرَهُونَ الْإِزَارَ فَوْقَ نِصْفِ السَّاقِ
“Berkata Ibnu Sirin (rahimahullah):
“Mereka membenci kain (seluar) yang diangkat sehingga melampaui pertengahan betis.” (Mushannaf Ibn Abi Syaibah, no. 24828)
Larangan Isbal Tidak Hanya Untuk Jubah
Dalam hadis-hadis berkaitan isbal, antara kalimat (perkataan) yang digunakan bagi mengisyaratkan “pakaian” adalah sekitar kalimat: Tsaub (pakaian), izaar (kain sarung atau pakaian yang menutupi bahagian pinggang hingga bawah tubuh), burdah (selimut atau mantel), dan qamish (jubah). Ada juga isbal yang diisyaratkan untuk serban (‘imamah).
Dalam Lisaan al-‘ Arab, makna izaar adalah:
الإزار: كل من واراكَ وسَتَرَكَ. وتعني أيضا: الملحفة
“Izaar: Setiap saja yang menutupi engkau, dan termasuk juga selimut.”
Makna ats-Tsaub:
الثوب : من ثَوَبَ ويعني: اللباس
“Ats-Tsaub: Dari perkataan tsaub, dan maknanya al-libaas (pakaian secara umum).”
Jadi dari sini, apa jua pakaian yang isbal tanpa dikhususkan hanya untuk jubah atau kain, maka ia adalah terlarang. Sebagaimana dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلاَءَ، لَمْ يَنْظُرِ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ القِيَامَةِ
Sesiapa saja yang melabuhkan pakaiannya kerana sombong, Allah tidak akan memandangnya pada hari kiamat nanti.” (Shahih al-Bukhari, no. 3665)
Kata Badr ad-Diin al-‘Aini rahimahullah:
قوله من جر ثوبه يدخل فيه الإزار والرداء والقميص والسراويل والجبة والقباء وغير ذلك مما يسمى ثوبا بل ورد في الحديث دخول العمامة في ذلك
“Perkataan Nabi ‘Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya…” ini mencakupi izaar (kain sarung), rida’, qamish (jubah), sarawil (seluar), jubah, qubba’, dan selainnya dari jenis-jenis jenis pakaian yang disebut sebagai pakaian. Bahkan terdapat riwayat yang memasukan ‘imamah (serban) dalam bab ini.” (Al-‘Aini, ‘Umdah al-Qari, 31/429)
Kata al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H):
وَقَالَ الطَّبَرِيُّ: إِنَّمَا وَرَدَ الْخَبَر بِلَفْظِ الْإِزَار لِأَنَّ أَكْثَر النَّاس فِي عَهْده كَانُوا يَلْبَسُونَ الْإِزَار وَالْأَرْدِيَة، فَلَمَّا لَبِسَ النَّاس الْقَمِيص وَالدَّرَارِيع كَانَ حُكْمهَا حُكْم الْإِزَار فِي النَّهْي. قَالَ اِبْن بَطَّال: هَذَا قِيَاس صَحِيح لَوْ لَمْ يَأْتِ النَّصّ بِالثَّوْبِ، فَإِنَّهُ يَشْمَل جَمِيع ذَلِكَ، وَفِي تَصْوِير جَرّ الْعِمَامَة نَظَر، إِلَّا أَنْ يَكُون الْمُرَاد مَا جَرَتْ بِهِ عَادَة الْعَرَب مِنْ إِرْخَاء الْعَذْبَات، فَمَهْمَا زَادَ عَلَى الْعَادَة فِي ذَلِكَ كَانَ مِنْ الْإِسْبَال
“At-Thabari berkata: Lafaz-lafaz hadis menggunakan kata “izaar” kerana kebanyakan manusia di masa itu mereka memakai “izaar” (kain sarung, seperti pakaian ihram yang di bahagian bawah) dan rida’ (mantel, pakaian ihram untuk bahagian atas tubuh). Ketika orang-orang mula memakai qamish (jubah) dan ad-daraarii’ (baju besi), maka hukumnya sama seperti larangan pada izaar.
Ibnu Bathal berkata: Ini adalah qiyas yang sahih (benar) kalaulah  memang benar tidak ada nash (dalil) yang menggunakan kata tsaub. Kerana kata tsaub itu sudah mencakupi semua jenis pakaian (sehingga kita tidak perlu lagi berdalil dengan qiyas). Manakala adanya isbal pada ‘imamah (serban) adalah suatu perkara yang tidak dapat kita bayangkan kecuali dengan melihat kebiasaan orang ‘Arab yang menjulurkan hujung serbannya. Sehingga pengertian isbal dalam bab serban ini adalah merujuk hujung serban yang dipanjangkan melebihi sifat umumnya yang biasa dipakai oleh kalangan masyarakat setempat.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 10/262)
Adakah Kasut Boleh Menyebabkan Isbal?
Isbal berlaku adalah disebabkan kain pakaian dari atas yang dijulurkan ke bawah sehingga melepasi mata kaki. Dari itu, kasut tidak termasuk ke dalam pakaian yang menyebabkan isbal.
Larangan Menyinsing, Mengumpul, atau Melipat Pakaian Ketika Solat
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ الْجَبْهَةِ، وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَالْيَدَيْنِ، وَالرِّجْلَيْنِ، وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ، وَلَا نَكْفِتَ الثِّيَابَ، وَلَا الشَّعْرَ
“Aku diperintahkan (oleh Allah) untuk sujud dengan tujuh anggota tubuh yang utama termasuk dahi. (Dalam masa sama) Beliau mengisyaratkan dengan tangannya ke arah hidung, kedua tapak tangan, kaki, dan jari jemari kaki. Serta (diperintahkan) untuk tidak mengikat rambut serta tidak mengumpulkan (menggulung atau melipat) pakaian.” (Shahih Muslim, no. 490)
Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan maksud hadis ini:
ثُمَّ مَذْهَب الْجُمْهُور أَنَّ النَّهْي مُطْلَقًا لِمَنْ صَلَّى كَذَلِكَ سَوَاء تَعَمَّدَهُ لِلصَّلَاةِ أَمْ كَانَ قَبْلهَا كَذَلِكَ لَا لَهَا بَلْ لِمَعْنًى آخَر، وَقَالَ الدَّاوُدِيّ يَخْتَصّ النَّهْي بِمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ لِلصَّلَاةِ، وَالْمُخْتَار الصَّحِيح هُوَ الْأَوَّل، وَهُوَ ظَاهِر الْمَنْقُول عَنْ الصَّحَابَة وَغَيْرهمْ
“Kemudian mazhab jumhur (majoriti ulama) berpendapat bahawa larangan (menyinsingkan pakaian) tersebut adalah bersifat mutlak, berlaku bagi sesiapa sahaja yang solat di dalam keadaan seperti itu. Sama ada dia sengaja menyinsingkan untuk solat, atau sebelum solat memang dia telah seperti itu kerana adanya urusan yang lainnya (bukan kerana solat). Ada pun imam ad-Dawudi berpendapat bahawa larangan tersebut berlaku khusus bagi seseorang yang memang melakukannya untuk solat. Namun yang lebih tepat (benar) serta terpilih adalah pendapat pertama. Dan itulah zahir dari pendapat yang dinukilkan oleh para sahabat dan yang selainnya.” (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 4/209)
Maka dengan ini, untuk mengelakkan isbal, dan dalam masa yang sama mengelakkan dari perbuatan melipat atau menggulung pakaian, maka pakaian, seluar, kain sarung, mahupun jubah dan yang berkaitan yang memiliki sifat menjulur ke bawah sehingga melepasi dua mata kaki hendaklah dipotong dan dijahit.
Pelaku Isbal Menyerupai Wanita
Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:
فالفارقة بين لباس الرجال والنساء يعود إلى ما يصلح للرجال وما يصلح للنساء وهو ما ناسب ما يؤمر به الرجال وما يؤمر به النساء
“Yang membezakan di antara jenis pakaian lelaki dengan pakaian wanita adalah kembali kepada apa yang bertepatan bagi kaum lelaki dan apa yang bertepatan dengan kaum wanita, iaitu pakaian yang sesuai dengan apa yang diperintahkan kepada kaum lelaki dan dengan apa yang diperintahkan kepada kaum wanita.” (Al-Albani, Jilbab al-Mar’atil Muslimah, m/s. 153 – Daar al-Islaam)
Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنْ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنْ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melaknat lelaki yang menyerupai wanita, dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Shahih al-Bukhari, Kitab al-Libas, no. 5885)
Batas larangan yang dimaksudkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam berkenaan penyerupaan wanita dengan lelaki atau yang sebaliknya tidaklah hanya merujuk kepada apa yang dipilih oleh sama ada kaum lelaki atau wanita berdasarkan apa yang biasa mereka pakai. Tetapi, apa yang lebih penting adalah perlunya merujuk kembali kepada apa yang wajib dikenakan bagi kaum lelaki dan wanita berpandukan perintah syara’ yang mewajibkan menutup aurat menurut kaedahnya.
Apa yang boleh kita fahami dalam persoalan ini adalah:
1, Pakaian yang labuh, sehingga menutup kaki itu adalah khusus bagi para wanita. Manakala…
2, Pakaian yang tidak dilabuhkan melepasi paras buku lali, itu adalah batas pakaian bagi lelaki.
3, Maka, hendaklah kaum lelaki dan kaum wanita memahami persoalan ini dengan baik dan tidak mengenakan yang saling bertentangan. Dan sekiranya lelaki mengenakan pakaian yang labuh sehingga melepasi batas buku lali, maka itu sebenarnya telah mengambil bentuk-bentuk pakaian wanita, dan begitulah sebaliknya.
Ini dapat difahami antaranya sebagaimana hadis berikut, sekali lagi dinukilkan:
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ جَرَّ ثَوْبَهُ خُيَلَاءَ لَمْ يَنْظُرِ اللَّهُ إِلَيْهِ يَوْمَ القِيَامَةِ، فَقَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ: فَكَيْفَ يَصْنَعْنَ النِّسَاءُ بِذُيُولِهِنَّ؟ قَالَ: «يُرْخِينَ شِبْرًا»، فَقَالَتْ: إِذًا تَنْكَشِفُ أَقْدَامُهُنَّ، قَالَ: فَيُرْخِينَهُ ذِرَاعًا، لَا يَزِدْنَ عَلَيْهِ
“Sesiapa yang menjulurkan (melabuhkan) pakaiannya kerana sombong, nescaya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak akan melihatnya dengan pandangan kasih sayang pada hari kiamat.
Maka Ummu Salamah pun bertanya, “Apa yang perlu dilakukan oleh para wanita dengan hujung pakaiannya?”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menjawab, “Hendaklah mereka menurunkan (melabuhkannya) satu jengkal dari pertengahan betis.”
Ummu Salamah berkata, “Jika begitu, sudah tentu telapak kaki mereka masih akan tersingkap (kelihatan).”
Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menerangkan, “Sekiranya begitu, hendaklah mereka menurunkannya satu hasta (sekaki dari pertengahan betis) dan jangan lebih dari itu.” (Sunan at-Tirmidzi, no. 1731. Bab: Melabuhkan hujung pakaian bagi wanita. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)
Sebahagian Pandangan Tokoh 4 Mazhab Ahli Sunnah
Asal hukum isbal di dalam Islam berpandukan pandangan 4 mazhab ahli sunnah adalah diperselisihkan sama ada haram atau makruh (dibenci).
Walau bagaimanapun, ini semua telah dibahaskan sama ada melalui tulisan ini atau dalam ruangan yang lain di mana apabila kita berselisih dalam sesuatu hal, hendaklah ia dikembalikan kepada dalil yang jelas, iaitu al-Qur’an dan as-Sunnah. Bukannya dikembalikan kepada fulan A atau fulan B, atau fulan-fulan lainnya sehingga menyebabkan kita menyimpang jauh dari letak duduk dalil yang sebenarnya.
Sebahagian pandangan tokoh-tokoh mazhab dalam persoalan isbal ini sengaja penulis bentangkan agar kita dapat melihat lebih jauh, terbuka, diambil manfaat, lapang dada, dan lebih beradab dalam membahaskan hukum-hakam isbal ini. Agar kita mengetahui bahawa memang ada terdapat perbezaan di dalamnya sekaligus mengajak kita menelusuri bagaimana adab apabila berhadapan dengan perselisihan pendapat seperti ini.
Sekaligus menjadikan kita lebih berhati-hati dan teliti dalam menyikapi para pelaku isbal secara umum. Wallahu a’lam.
Tokoh dalam kalangan mazhab Imam Malik, pensyarah kitab Muwaththa’, iaitu al-Hafiz Ibnu ‘Abd il-Barr rahimahullah (Wafat: 463H). Beliau berkata:
وقد ظن قوم أن جر الثوب إذا لم يكن خيلاء فلا بأس به واحتجوا لذلك بما حدثناه عبد الله بن محمد بن أسد …. قال رسول الله صلى الله عليه و سلم: من جر ثوبه خيلاء لم ينظر الله إليه يوم القيامة» فقال أبو بكر: إن أحد شقى ثوبي ليسترخي إلا أن أتعاهد ذلك منه،فقال رسول الله صلى الله عليه و سلم: إنك لست تصنع ذلك خيلاء» قال موسى قلت لسالم أذَكر عبد الله من جر إزاره، قال لم أسمعه إلا ذكر ثوبه، وهذا إنما فيه أن أحد شقى ثوبه يسترخي، لا أنه تعمد ذلك خيلاء، فقال له رسول الله صلى الله عليه و سلم: «لست ممن يرضى ذلك» ولا يتعمده ولا يظن بك ذلك
“Sebahagian orang menyangka bahawa melabuhkan pakaian jika tidak kerana sombong itu tidak mengapa. Mereka berdalih dengan riwayat daripada ‘Abdullah B. Muhammad B. Asad bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana sombong, tidak akan dipandang oleh Allah pada hari kiamat.” Lalu Abu Bakar berkata:
“Sesungguhnya salah satu sisi belahan kain-ku ini menjulur turun, kecuali apabila aku menjaganya dari keadaan tersebut.”
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Engkau tidak melakukannya kerana sombong.” Musa bertanya kepada Salim (perawi hadis), adakah ‘Abdullah B. ‘Umar menyebutkan lafaz “Sesiapa yang melabuhkan “izaarnya” (kainnya)?” Salim menjawab, “Tidaklah aku mendengarnya melainkan dengan kata “tsaubahu” (pakaiannya).”
Dalam keadaan Abu Bakr ini, yang melorot turun hanya satu sisi pakaiannya saja, bukan pula kerana Abu Bakr sengaja melabuhkan pakaiannya. Oleh sebab itulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Tidaklah engkau termasuk orang yang redha dengan keadaan (isbal) tersebut.” Dan tidak pula sengaja melakukannya, serta tidak pula akan ada yang menyangka Abu Bakr seperti itu keadaannya.” (Ibn ‘Abd al-Barr, at-Tamhid, 3/249)
Abu al-Walid Sulaiman B. Khalaf al-Baaji rahimahullah (Wafat: 474H):
وقوله صلى الله عليه وسلم الذي يجر ثوبه خيلاء يقتضي تعلق هذا الحكم بمن جره خيلاء، أما من جره لطول ثوب لا يجد غيره، أو عذر من الأعذار فإنه لا يتناوله الوعيد… قوله صلى الله عليه وسلم: «إزارة المؤمن إلى أنصاف ساقيه»، يحتمل أن يريد به والله أعلم أن هذه صفة لباسه الإزار؛ لأنه يلبس لبس المتواضع المقتصد المقتصر على بعض المباح، ويحتمل أن يريد به أن هذا القدر المشروع له ويبين هذا التأويل قوله صلى الله عليه وسلم :لا جناح عليه فيما بينه وبين الكعبين يريد والله أعلم أن هذا لو لم يقتصر على المستحب مباح لا إثم عليه فيه ، وإن كان قد ترك الأفضل
“Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana sombong” ini menunjukkan hukumnya terkait untuk orang yang melakukannya kerana sombong. Adapun mereka yang pakaiannya panjang dan dia tidak memiliki yang lain (tiada pilihan pakaian lain ketika itu), atau mereka yang memiliki udzur lain (yang syar’i), maka dia tidak termasuk ke dalam ancaman hadis ini.
Dan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Pakaian orang mukmin itu separas pertengahan betis”, menunjukkan (Wallahu a’lam) inilah sifat/karektor pakaian beliau. Kerana beliau lebih menyukai memakai pakaian tawadhu’, iaitu yang seadanya, berbanding pakaian lain yang mubah. Mungkin juga, perkataan beliau ini menunjukkan kadar yang masyru’ (yang dianjurkan). Tafsiran ini dapat difahami (ditafsirkan) oleh sabda beliau yang lain, “Tidak mengapa bagi mereka untuk mengenakan pakaian separas pertengahan betis hingga dua mata kaki.”
Beliau hendak mengatakan, Wallahu a’lam bahawa kalaulah tidak mencukupkan diri dengan yang mustahab (yang disukai, iaitu separas pertengahan betis), maka boleh dan tidak berdosa (untuk melabuhkannya lagi hingga dua mata kaki). Tetapi ini telah meninggalkan yang utama (afdhal).” (Al-Baji, al-Muntaqa Syarh al-Muwatha, 9/314-315)
Demikian juga sebagaimana kata Imam Ibn al-‘Arabi al-Maliki rahimahullah yang telah disebutkan di atas sebelumnya.
Kemudian dari kalangan tokoh ulama Syafi’iyah, antaranya Imam an-Nawawi dan Ibnu Hajar al-‘Asqalani.
Imam an-Nawawi membawakan perkataan Imam asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204H) dalam al-Majmu’:
لا يجوز السدل في الصلاة ولا في غيرها للخيلاء فأما السدل لغير الخيلاء في الصلاة فهو خفيف لقوله صلى الله عليه وسلم لابي بكر رضى الله عنه وقال له ان ازارى يسقط من أحد شقى فقال له: لست منهم
“Tidak dibenarkan di dalam solat atau selain solat jika memiliki kesombongan. Adapun melabuhkan pakaian untuk selain bermaksud sombong di dalam solat maka ia lebih ringan (khafiif) kerana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada Abu Bakr radhiyallahu ‘anhu ketika salah satu sisi pakaian Abu Bakr melorot jatuh: “Engkau bukanlah termasuk mereka (yang isbal dengan sombong – pen.).” (An-Nawawi, al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 3/177)
Kata al-Hafiz Ibnu Hajar ketika mengulas perkataan Imam asy-Syafi’i yang dinukil imam an-Nawawi ini:
وقوله خفيف ليس صريحا في نفي التحريم بل هو محمول على أن ذلك بالنسبة للجر خيلاء فأما لغير الخيلاء
“Perkataan asy-Syafi’i ini ((خفيف) khafiif: lebih ringan) tidaklah shorih (tidak jelas dan tegas) dalam menunjukkan penafian hukum haramnya isbal, tetapi sebaliknya ia dibawa kepada makna hukum melabuhkan pakaian tanpa sombong itu adalah “lebih ringan” jika dibandingan dengan isbal yang disertai kesombongan.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 10/263)
Pendapat Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) sebagaimana dalam Syarah Shahih Muslim:
فما نـزل عن الكعبين فهو ممنوع، فإن كان للخيلاء فهو ممنوع منع تحريم وإلا فمنع تنـزيه
“Kain yang menjulur turun melebihi mata kaki maka itu adalah terlarang. Jika melakukannya kerana sombong maka haram, jika tidak maka ia adalah makruh tanzih.” (Syarah Shahih Muslim, 14/63)
Manakala dalam al-Majmu’:
أما حكم المسالة فمذهبنا أن السدل في الصلاة وفى غيرها سواء فان سدل للخيلاء فهو حرام وان كان لغير الخيلاء فمكروه وليس بحرام
“Adapun hukum masalah menurut mazhab kami (mazhab asy-Syafi’i) bahawa melabuhkan pakaian di dalam solat dan di luar solat adalah sama, bahawasanya melabuhkan pakaian dengan kesombongan maka ia adalah haram dan sekiranya tidak dengan kesombongan maka ia adalah dibenci (makruh), bukan haram.” (An-Nawawi, al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 3/177)
Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah pula mengatakan:
وحاصله: أَنَّ الْإِسْبَال يَسْتَلْزِم جَرّ الثَّوْب وَجَرّ الثَّوْب يَسْتَلْزِم الْخُيَلَاء وَلَوْ لَمْ يَقْصِد اللَّابِس الْخُيَلَاء، ويؤيده: ما أخرجه أحمد بن منيع من وجه آخر عن ابن عمر في أثناء حديث رفعه: ( وإياك وجر الإزار؛ فإن جر الإزار من المخِيلة
“Dan kesimpulannya: Bahawasanya isbal itu adalah perbuatan melabuhkan pakaian, dan melabuhkan pakaian itu termasuk kesombongan walaupun si pelakunya tidak bermaksud sombong dengan pakaiannya tersebut. Dikuatkan lagi dengan riwayat daripada Ahmad B. Mani’ dengan wajah (sanad) lain daripada Ibnu ‘Umar. Di dalam hadis tersebut dikatakan: “Berhati-hatilah dengan perbuatan melabuhkan pakaian, kerana melabuhkan pakaian itu termasuk sebahagian dari kesombongan.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 10/264)
Dan kesimpulan al-Hafiz Ibnu Hajar inilah yang mendekati kebenaran dan tepat berbanding pendapat-pendapat lainnya, insyaAllah.
Kemudian, kalangan pembesar mazhab Ahmad (Hanbali). Imam Ibnu Muflih rahimahullah mengatakan:
قال أحمد رضي الله عنه أيضاً: ما أسفل من الكعبين في النار لا يجر شيئاً من ثيابه. وظاهر هذا التحريم
“Imam Ahmad rahimahullah juga pernah berkata: “Apa yang menjulur labuh ke bawah mata kaki itu di neraka. Tidak dibolehkan melabuhkan (menyeret) apa pun jenis pakaian.” Perkataan Imam Ahmad ini secara zahirnya menunjukkan pengharaman.” (Al-Adab asy-Syar’iyyah, 3/492)
Demikian juga yang dikatakan oleh Ibnu Taimiyah rahimahullah dalam Syarah al-‘Umdah.
Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620) dalam al-Mughni mengatakan:
يُكْرَهُ إسْبَالُ الْقَمِيصِ وَالْإِزَارِ وَالسَّرَاوِيلِ؛ لِأَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِرَفْعِ الْإِزَارِ. فَإِنْ فَعَلَ ذَلِكَ عَلَى وَجْهِ الْخُيَلَاءِ حَرُمَ
“Dibenci meng-isbalkan qamish, izaar, dan seluar. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan agar diangkat izaar (separas pertengahan betis, tidak dilabuhkan). Kerana jika melakukannya kerana sombong, maka hukumnya haram.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 3/21)
Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah (Wafat: 728H) pula menjelaskan:
وإن كان الإسبال والجر منهياً عنه بالاتفاق والأحاديث فيه أكثر، وهو محرم على الصحيح، لكن ليس هو السدل
“Dan bahawasanya isbal dan melabuhkan pakaian itu terlarang berdasarkan kesepakatan ulama serta hadis yang banyak, dan ia memang hukumnya haram berdasarkan pendapat yang tepat, cuma isbal itu berbeza dengan as-sadl.” (Ibnu Taimiyah, Iqtidha’ ash-Shiratil Mustaqim, 1/130)
Dari kalangan tokoh mazhab Hanafi:
Imam Ibn Muflih rahimahullah mengatakan:
أَبَا حَنِيفَةَ رَحِمَهُ اللَّهُ ارْتَدَى بِرِدَاءٍ ثَمِينٍ وَكَانَ يَجُرُّهُ عَلَى الْأَرْضِ، فَقِيلَ لَهُ: أَوَلَسْنَا نُهِينَا عَنْ هَذَا ؟ فَقَالَ: إنَّمَا ذَلِكَ لِذَوِي الْخُيَلَاءِ وَلَسْنَا مِنْهُمْ
“Abu Hanifah rahimahullah memakai rida’ yang sangat bernilai dan beliau membiarkannya terjulur labuh ke bumi. Maka dikatakan kepadanya, “Tidakkah kita dilarang berbuat seperti ini?” Maka beliau berkata, “Itu adalah bagi mereka yang sombong dan kami tidak termasuk dalam kalangan mereka.” (Ibn Muflih, al-Adab asy-Syar’iyyah, 3/521)
قال العلماء: المستحب في الإزار والثوب إلى نصف الساقين، والجائز بلا كراهة ما تحته إلى الكعبين، فما نـزل عن الكعبين فهو ممنوع. فإن كان للخيلاء فهو ممنوع منع تحريم وإلا فمنع تنـزيه
“Para ulama berkata: Dianjurkan (disukai) memakai izaar (kain sarung) dan ats-tsaub (pakaian) yang panjangnya separas pertengahan betis. Hukumnya jaa’iz (boleh) tanpa makruh jika melebihi setengah betis hingga mata kaki. Manakala apa yang melebihi mata kaki maka itu adalah terlarang. Jika melakukannya kerana sombong maka haram, jika tidak maka hukumnya makruh (dibenci).” (As-Saharunfuri, Bazl al-Majhud, 16/411)
Dalam kitab al-Fatawa al-Hindiyyah, 5/333, oleh Syaikh Nidzam dan sekumpulan ulama Hind:
تَقْصِيرُ الثِّيَابِ سُنَّةٌ وَإِسْبَالُ الْإِزَارِ وَالْقَمِيصِ بِدْعَةٌ يَنْبَغِي أَنْ يَكُونَ الْإِزَارُ فَوْقَ الْكَعْبَيْنِ إلَى نِصْفِ السَّاقِ وَهَذَا فِي حَقِّ الرِّجَالِ، وَأَمَّا النِّسَاءُ فَيُرْخِينَ إزَارَهُنَّ أَسْفَلَ مِنْ إزَارِ الرِّجَالِ لِيَسْتُرَ ظَهْرَ قَدَمِهِنَّ. إسْبَالُ الرَّجُلِ إزَارَهُ أَسْفَلَ مِنْ الْكَعْبَيْنِ إنْ لَمْ يَكُنْ لِلْخُيَلَاءِ فَفِيهِ كَرَاهَةُ تَنْزِيهٍ
“Memendekkan pakaian (separas pertengahan betis) itu adalah sunnah. Dan isbal pada izaar dan qamish itu adalah bid’ah. Sebaiknya izaar itu di atas mata kaki sampai separas pertengahan betis. Ini adalah pakaian yang haq (benar) bagi kaum lelaki. Manakala bagi kaum nisaa’ (wanita), hendaklah mereka menurunkan izaarnya (kainnya) melebihi izaar (kain) kaum lelaki agar menutup belakang kakinya. Isbal seorang lelaki pada izaarnya (pakaiannya) labuh ke bawah melebihi mata kaki jika tidak kerana sombong maka hukumnya makruh.” (al-Fatawa al-Hindiyyah, 5/333 – Daar al-Fikr)
Kesimpulannya:
Maka pendapat yang benar berdasarkan perincian yag dikemukakan melalui tulisan ini sekitar hukum isbal ini adalah haram hukumnya sama ada dilakukan dengan kesombongan atau tanpa kesombongan. Ini antaranya dengan mengikuti pandangan yang bertepatan dengan hadis-hadis, kemudian pandangan para sahabat, kemudian para imam seperti Imam Ahmad, Ibn ‘Abd al-Barr, Ibn al-‘Arabi al-Maliki, Ibnu Taimiyah (dalam al-Iqtidha’), Ibnu Hajar, ash-Shan’ani, Ibn Hazm, asy-Syaukani, dan selainnya dari kalangan ulama kontemporari seperti al-Albani, Ibn Baz, Ibn al-‘Utsaimin, dan ramai lagi sama ada telah dikemukakan di sini atau tidak. Bahkan isbal itu sendiri secara umum termasuk sebahagian dari karektor kesombongan.
Cuma hukum keharaman isbal secara umum itu lebih ringan berbanding hukum isbal jika disertai dengan rasa sombong, angkuh, bangga diri, dan berlagak. Apatah lagi jika dengan mengenakan pakaian isbal itu ia meremehkan, mencela, mencemuh, mengejek, atau menghina serta memperlekehkan pula pakaian yang tidak isbal lagi menepati adab-adab berpakaian yang sunnah.
Kalaupun ada yang masih menganggap ianya hanya sekadar makruh (dibenci) dan menganggap dirinya benar-benar suci dari sifat kesombongan, maka sampai bilakah kalian harus memakai pakaian yang dibenci serta yang menyelisihi adab-adab berpakaian yang sunnah? Ingatlah bahawa dosa-dosa kecil serta hal-hal yang dibenci agama itu seandainya terus dilazimi saban waktu, tidak mustahil ia akan menjadi beban dosa yang banyak. Sekaligus akan melalaikannya dari keutamaan dan kesungguhan dalam mengikuti sunnah.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ أَيِسَ أَنْ يُعْبَدَ بِأَرْضِكُمْ هَذِهِ، وَلَكِنَّهُ قَدْ رَضِيَ مِنْكُمْ بِمَا تَحْقِرُونَ
“Sesungguhnya Syaitan telah putus-asa untuk disembah di negeri kalian, akan tetapi ia redha (sukacita) terhadap kalian disebabkan dosa-dosa yang kalian remehkan.” (Musnad Ahmad, no. 8810. Dinilai sahih isnadnya oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)
Di hadis yang lain, beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
إِيَّاكُمْ وَمُحَقَّرَاتِ الذُّنُوبِ فَإِنَّمَا مَثَلُ مُحَقَّرَاتِ الذُّنُوبِ كَقَوْمٍ نَزَلُوا فِي بَطْنِ وَادٍ، فَجَاءَ ذَا بِعُودٍ، وَجَاءَ ذَا بِعُودٍ حَتَّى أَنْضَجُوا خُبْزَتَهُمْ، وَإِنَّ مُحَقَّرَاتِ الذُّنُوبِ مَتَى يُؤْخَذْ بِهَا صَاحِبُهَا تُهْلِكْهُ
“Hendaklah kalian berwaspada terhadap dosa-dosa yang dianggap remeh, kerana sesungguhnya perumpamaan dosa-dosa ini adalah seperti suatu kaum yang turun di perut lembah, lalu yang satu membawa satu ranting, dan yang satu pula membawa satu ranting sehingga mereka dapat memasak roti mereka. Sesungguhnya dosa-dosa yang dianggap remeh itu apabila dikumpulkan maka ia akan membinasakan.” (Musnad Ahmad, no. 22808. Dinilai sahih isnadnya oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)
Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
ارْحَمُوا تُرْحَمُوا وَاغْفِرُوا يُغْفَرْ لَكُمْ، وَيْلٌ لأَقْمَاعِ الْقَوْلِ، وَيْلٌ لِلْمُصِرِّينَ الَّذِينَ يُصِرُّونَ عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
“Berikanlah kasih-sayang, maka kalian akan disayangi. Berikanlah maaf, maka Allah akan memberikan keampunan untuk kalian. Kecelakaanlah bagi telinga-telinga yang selalu mendengarkan perkataan (tetapi tidak memahami dan memanfaatkannya). Kecelakaanlah bagi orang-orang yang terus-menerus dalam maksiat sedangkan dia mengetahui.” (Al-Adab Al-Mufrad, no. 380. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Maka, berhati-hatilah terhadap dosa-dosa sama ada dosa-dosa yang kecil apatah lagi yang besar. Kata al-Hafiz Ibnu al-Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H), “Janganlah sekali-kali engkau remehkan kemaksiatan yang kecil, sebagaimana rumput yang lemah, jika dianyam menjadi tali maka ia mampu menarik kapal-kapal.” (Bada’i al-Fawa’id, 3/338)
Kenapa Isbal Perlu Ditinggalkan?
1, Meninggalkan isbal termasuk ciri orang-orang beriman dan bertaqwa. Ini sebagaimana perkataan (nasihat) Rasulullah terhadap seorang yang melakukan isbal.
ارْفَعْ إِزَارَكَ وَاتَّقِ اللَّهَ قَالَ إِنِّي أَحْنَفُ تَصْطَكُّ رُكْبَتَايَ
“Angkatlah kain pakaianmu (agar tidak isbal) dan bertaqwalah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.” (Musnad Ahmad, no. 19475. Dinilai sahih oleh al-Albani)
2, Meninggalkan isbal termasuk mentaati Allah dan Rasul-Nya.
3, Pelaku isbal terancam dengan neraka sebagaimana dijelaskan dalam banyak hadis.
4, Meninggalkan isbal termasuk mencontohi pakaian Rasulullah dan para sahabatnya yang mana beliau adalah sebaik-baik contoh bagi mereka yang benar-benar mencintai Allah dan mencari rahmat-Nya. Kemudian mencontohi pakaian para ulama generasi awal Islam yang mulia.
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi sesiapa yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (Surah al-Ahdzaab, 33: 21)
5, Isbal itu termasuk kesombongan, manakala meninggalkannya termasuk meninggalkan sebahagian dari kesombongan.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
“Tidak akan masuk Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar zarrah.” (Shahih Muslim, no. 91)
6, Agar tidak menyerupai wanita dan orang-orang fasiq serta orang-orag kafir dalam berpakaian.
7, Meninggalkan sikap berlebih-lebihan (melampaui batas) dalam berpakaian kerana isbal itu termasuk perbuatan berlebihan-lebihan dalam berpakaian.
8, Dapat menjaga hujung pakaian dari dikotori ketika berjalan.
9, Allah tidak men-cintai pelaku isbal dan tidak memandang kepadanya.
Title : Menyingkap Fenomena Isbal
Description : Tentu masih ramai di antara kita yang mungkin tidak mengetahui bahkan mungkin juga sama sekali tidak pernah mendengar perkataan “Isbal”. A...

0 Response to "Menyingkap Fenomena Isbal"

Post a Comment

Kategori

Adab (9) Adzan (16) Ain (1) Air (3) Anak (1) Anjing (2) Aqiqah (3) Asuransi (1) Bangkai (1) Budak (1) Demonstrasi (8) Doa (42) Dzikir (1) E-Book (2) Gadai (1) Gerhana (6) Hadiah (1) Haid (3) Haji Dan Umroh (15) Hibah (1) Hijab (1) Homo (1) Hudud (7) I'tikaaf (1) Ied (2) Ifthaar (1) Ilaa (1) Isbal (7) Jabat Tangan (1) Jaminan (1) Jenazah (5) Jenggot (2) Jihad (4) Jual Beli (18) Judi (2) Jum'at (7) Junub (1) Kaffarah (1) Kaidah Fiqh (83) KENCING (1) Khitan (1) Khutbah (2) Lailatul Qadr (1) Mahrom (1) Makanan (1) Masbuq (1) Masjid (3) Membunuh (1) Mencuri (1) MLM (2) Muharram (2) Nafkah (6) Najis (2) Nama (5) Nawazil (3) Nifas (2) Nikah (15) Nusyuz (1) Other (1) Politik (8) Puasa (13) Qunut (1) Qurban (11) Riba (8) Sahur (3) Sedekah (1) Sewa (1) Shaf (3) Sholat (63) Siwak (1) Suci (2) Sujud (4) Sumpah (1) Ta'ziah (1) Tabarruj (3) Takbir (1) Talak (14) Tarawih (1) Tasyrik (3) Tayamum (3) Tepuk Tangan (1) Tetangga (1) Thaharah (3) Ular (1) Video Dan Audio (1) Wirid (1) Witir (2) Wudhu (6) Yatim (1) Zakat (9) Ziarah (1) Zina (2)

Random Ayat Quran

Millis

Join dan ikuti diskusi ilmiah, tanya jawab dan info-info yang insyaAllah sangat bermanfaat.

Flag Counter